PPIM

My photo
Klang, Selangor, Malaysia
Assalamualaikum.. bismillahirahmanirahim. " Segala bahan didalam blog ini di ambil, di olah dan ditulis dari pelbagai sumber. Kepada yang ingin mengambil apa2 jua bahan dalam blog ini dengan niat untuk mengembang sebarkan ilmu, tidak perlu meminta izin atau menyertakan alamat blog ini. Sebarkan dan panjangkanlah kepada semua demi kebaikkan ummah. Semoga info yang ada dapat memberi manfaat walaupun sedikit cuma, dan semoga dengan usaha sekecil ini pastinya tidak akan terlepas dari pandangan Allah.. insyaAllah.. Jika ada kesilapan dari setiap posting, tolong berikan nasihat dan komen. Maaf andai terlancar bahasa tersasar kata-kata. Saya hanya insan biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. wallahualam."Blog Created By AZHHAR/JEHA

Wednesday

INFO GIGITAN ULAR

بسم الله الرحمن الرحيم



Jenis-jenis ular yang ada di Malaysia



Terdapat lebih dari 140 spesis ular di Malaysia, tetapi hanya 17 spesis sahaja yang beracun.

Beberapa jenis ular beracun dan berbahaya ialah seperti ular tedung (cobra dan King cobra), ular kapak (Russell's Viper, Malaysian pit viper dan Green tree pit viper) dan ular 'kraits'.


Ular tedung biasanya dijumpai di kawasan ladang, paya, tanah lapang dan juga di kawasan perumahan di mana mudah bagi ular-ular tersebut mencari mangsanya seperti tikus. Manakala "king Cobra" pula biasanya di jumpai di hutan tebal.

Ular kapak (pit viper) pula mudah dijumpai di kebun getah, ladang, kampung dan hutan. Tempat yang biasa bagi 'Green tree pit viper' pula ialah di atas pokok. Ular 'Kraits' biasanya didapati di padang, hutan atau di pinggir kawasan perumahan. Ular laut selalunya berada di pesisiran pantai dan kawasan muara sungai. Oleh yang demikian, kes-kes patukan ular sering terjadi kepada mereka yang tinggal atau bekerja dekat dengan kawasan-kawasan tersebut dan semasa aktiviti-aktiviti perkhemahan, berkelah dan riadah di kawasan-kawasan tersebut.

Gejala & tanda-tanda dipatuk ular


Kecedaraan atau kemudaratan akibat patukan ular bergantung kepada jenis dan saiz ular, jumlah racun, bilangan patukan, tempat patukan (kesan patukan menjadi teruk jika dipatuk di kepala, leher dan badan) dan saiz mangsa.


Racun ular bertindak melalui 3 cara yang berlainan :

* Toksin darah (Haemotoxins)


* Toksin saraf (Neurotoxins)


* Toksin jantung (Cardiotoxins)

Sesetengah gejala patukan akan dirasai dalam masa yang singkat selepas dipatuk berbanding dengan sesetengah gejala patukan yang lain. Gejala awal:

* Sakit setempat, bengkak dan perubahan warna kulit pada tempat patukan (patukan ular laut biasanya tidak mendatangkan reaksi mahupun rasa sakit).


* Gejala am yang mungkin timbul pada peringkat awal pada 10 hingga 15 minit selepas dipatuk ialah rasa cemas, lemah, muntah, sakit kepala, pening, berpeluh, sesak nafas, perasaan keliru, kekejangan dan kemudian mangsa mungkin akan lumpuh dan seterusnya mati.


Gejala yang berlaku agak lambat:

* Gejala setempat (di tempat patukan): bengkak, bisul, pendarahan dalam kulit dan otot, dan gejala kurang aliran darah ke anggota serta kulit.


* Gejala am seperti: pening, muntah, sesak nafas, demam, kejutan (shock), gusi berdarah, darah dalam najis, air kencing atau muntah dan lumpuh.


* Gangguan deria sentuhan, rasa dan bau; rasa mengantuk, rasa lumpuh pada otot muka dan mata; susah untuk menelan dan pendarahan dalam otak.

Kesan atau Komplikasi patukan ular


Walaupun kebanyakan orang yang dipatuk ular beracun akan sembuh, namun patukan ular boleh menjadi serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat. Kesan atau komplikasi yang boleh terjadi ialah :

* Parut dan kesan kosmetik.


* Luka, jangkitan kulit dan jangkitan tulang di tempat yang dipatuk.


* Penyakit Tetanus (kancing gigi).


* Kerosakan buah pinggang.


* Kerosakan otak akibat perdarahan dalam otak


* Luka atau parut kekal dalam mata, jika ular menyembur racun ke mata.

Rawatan patukan ular


JANGAN PANIK!


Jangan potong atau hisap tempat yang dipatuk

* Elakkan dari bergerak jika tiada keperluan bagi mengurangkan racun merebak ke bahagian badan yang lain.


* Basuh tempat yang dipatuk dengan segera dan berhati-hati.


* Basuh mata secepat mungkin jika racun ular disembur ke mata.


* Balut tempat yang dipatuk dengan baik tetapi janganlah terlalu ketat supaya aliran darah tidak terganggu. Jika tempat yang dipatuk ialah tangan atau kaki, buat balutan tambahan bagi keseluruhan tangan atau kaki, mulai dari jari tangan atau jari kaki.


* Elakkan anggota yang dipatuk dari bergerak dengan menggunakan anduh (splint atau sling).


* Elakkan mangsa dari bergerak sehingga pertolongan tiba. Bawa bentuk-bentuk pertolongan kepada mangsa bagi mengelakkan mangsa bergerak atau berjalan.


* Hantar mangsa ke hospital yang berdekatan.


Rawatan di hospital :

* Mangsa akan diletak di bawah perhatian yang rapi


* Rawatan termasuk rawatan luka, jagaan anggota dan rawatan sokongan


* Rawatan sokongan termasuk melegakan kesakitan, rawatan jangkitan , pemindahan faktor pembekuan darah, bantuan pernafasan dan sebagainya mengikut keperluan.


* Doktor juga akan memberi ubat khas antivenom yang spesifik bergantung kepada tahap keseriusan patukan


* Jika perlu, suntikan imunisasi atau imunisasi tambahan untuk penyakit tetanus mungkin akan diberi.

Bagaimana mengelak dari dipatuk ular

* Pakai kasut yang menutup kaki atau seluar panjang semasa berjalan di kawasan semak


* Hentak kaki atau lakukan gegaran dengan kaki semasa berjalan di tempat gelap atau semak


* Jangan masukkan tangan ke dalam lubang, rekahan batu atau tanah


* Jauhi dari ular yang mati kerana ramai orang telah dipatuk 2 atau 3 kali oleh ular yang disangka telah mati.


* Elakkan pergi ke kawasan ular semasa suasana gelap.



- sumber infosiha

No comments:

Post a Comment