بسم الله الرحمن الرحيم
Aurat Wanita Muslimah Menurut Syarak
Pembahasan
tentang masalah aurat wanita Islam tidak pernah sunyi dari
diperkatakan. Malangnya, apa yang mendukacitakan adalah sering kali
penjelasan tentangnya tidak berlandaskan nas yang sahih sebaliknya
hanyalah takwilan yang dilatari hawa nafsu serta kebencian kepada sumber
yang qat’ie. Sebahagian kaum Muslimah yang telah dirasuk pemikiran
kufur turut mempertikaikan kewajaran pemakaian tudung yang juga
dipanggil ‘hijab’ dengan menganggap menutup kepala sebagai menutup akal.
Contoh golongan ini adalah seperti Pengurus Program Sisters In Islam
(SIS), Norhayati Kaprawi dalam sesi dialog Islam Liberal di Hotel
Selesa, Pasir Gudang yang berkata bahawa pakaian taqwa itu lebih baik
dari menutup aurat.
Ada juga yang beranggapan menutup aurat
adalah penyebab kemunduran umat Islam. Ahmad Reda yang merupakan penyeru
agar ditumbangkan sistem pemerintahan Islam di Turki menganggap bahawa
selagi lelaki dan wanita Turki tidak bercampur bebas dan membuka
hijabnya maka tiada kedaulatan undang-undang dan kebebasan di Turki
[Rujuk al-Ittijah al-Wataniah fi al-Adab al-Mu’sir, Jil. 2, ms273).
Manakala Taha Husin dari Mesir menyatakan dalam bukunya ‘Mustaqbal
al-Thaqafah fi Misr’: “Kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang
Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan
kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada
yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicaci.”
Baginya menutup aurat perlu ditentang kerana ianya berbeza dengan Barat.
Dr. ‘Imad ‘Abd Hamid An-Najar dalam Jaridah al-Akhbar pula menyatakan:
“Adapun mengenai hijab dan percampuran antara wanita dan lelaki dalam
kehidupan harian, ini adalah perkara yang boleh ditentukan oleh sesebuah
masyarakat berdasarkan keadaannya. Bagi setiap masyarakat ada pakaian
dan cara-cara yang memudahkan individunya. Apa yang disebut di dalam
al-Qur’an mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam. Hukum-hakam ini bukanlah semestinya
berkaitan dengan seluruh wanita.”
Demikianlah di antara
sebahagian penentangan-penentangan terhadap hukum Allah yang ditunjukkan
oleh kumpulan atau individu yang sudah teracun oleh pemikiran kufur
Barat. Di samping itu, masih terdapat ramai juga wanita Muslim yang
masih tidak tahu, tidak faham atau salah faham dengan cara-cara menutup
aurat secara syar’ie di dalam kehidupan mereka. Justeru, mereka terjatuh
di dalam dosa dan keharaman. Justeru, hukum menutup aurat ke atas
Muslimah ini mestilah diperhatikan betul-betul agar kita tidak
terjerumus ke dalam kesesatan dan dosa.
Dalil-dalil tentang Aurat Wanita
(i) Batasan aurat wanita
Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali
wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di
hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari
hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan
adalah aurat yang wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].
Yang
di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan
perhiasannya), adalah "wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa",
maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh)
yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul
Qur`an, Juz III hal.316].
Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara
minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada
anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak
tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas,
Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir
Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami
Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di
maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”,
katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan
bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua
telapak tangan.
Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi
dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229
[Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya
adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah
yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu
alaihi wa Sallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh
ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan
biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al
Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].
Dalil lain yang menunjukkan
bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua
telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai
Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka
tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya
menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud]
(ii) Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life)
Yang
dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana wanita itu
berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur dengan
masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya
terdiri dari dua jenis iaitu
(a) libas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan
(b) libas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).
Dengan
dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam kehidupan
umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus,
taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai
jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah,
“Wahai Nabi!
katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan
isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.”
[TMQ Al-Ahzab (33):59].
Oleh sebab Al-Quran adalah berbahasa
Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita
hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa
Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah
yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang
diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian
tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih
yang wajib diikuti oleh setiap orang.
Jadi, apakah makna jilbab
itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian
yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk
kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab
Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms
128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi
kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab
kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti
milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah
(pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).
Berdasarkan
pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah
mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah
ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab)
adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih
ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari tetapi bukan
hanya coli dan seluar dalam] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi
kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan
memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa
dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang
leher baju di dada.
Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].
Pakaian
jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang
telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan
melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab
dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju
ke kehidupan am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh
(haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis
pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya
dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar
ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa
Allah di akhirat nanti.
(iii) Pakaian wanita dalam Hayatul Khassah (Kehidupan Khusus/private life)
Yang
dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana seseorang
wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan anggota
keluarganya yang lain.
Adapun cara seorang Muslimah menutupi
auratnya di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di
rumahnya atau di dalam kenderaan peribadi, syarak tidak menentukan
bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi membiarkan secara mutlak tanpa
menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firman-Nya,
“wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An-Nur:31]
atau sabda Nabi,
“lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].
Jadi,
pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak tangan
dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia
adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di
bawah).
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian
yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap
sebagai penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi bentuk,
jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan dalam
berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi
pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak
diketahui. Jika tidak demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh
kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak
warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau
coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup
aurat dan haram hukum memakainya.
(iv) Wajib memakai tsaub, di samping jilbab
Tsaub
ialah ‘pakaian di rumah’ iaitu pakaian yang dipakai oleh wanita di
hadapan mahramnya semasa berada dalam hayatul khassah (kehidupan khusus)
tatkala tiada lelaki ajnabi (lelaki asing) di dalamnya. Dalil mengapa
wajib mengenakan tsaub di dalam jilbab ialah berdasarkan firman Allah,
“Dan
perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haidh dan mengandung)
yang tiada ingin berkahwin (lagi) tiadalah atas mereka dosa
menanggalkan pakaian (tsiyab) mereka, dengan tidak bertujuan mendedahkan
perhiasan mereka” [TMQ An-Nur (24):60].
Ayat ini membenarkan
wanita yang telah putus haid dan tiada keinginan berkahwin menanggalkan
atau melepaskan pakaian (tsaub). Ini bermakna, jika tiada ‘pakaian’ di
dalam jilbab, bermakna wanita yang telah putus haid berkenaan akan
berbogel, walhal berbogel tidak dibolehkan. Justeru, tsaub adalah
‘pakaian dalam’ (pakaian rumah) yang wajib dipakai oleh Muslimah di
samping jilbab (pakaian luar) di dalam hayatul am atau di dalam hayatul
khas tatkala ada lelaki ajnabi. [Rujuk Imam Muhammad Abu Zahrah dalam
kitab Usulul Fiqh:164-147, Abdul Wahab Khallaf kitab Ilmu Usul
Fiqh:143-153 dan Sheikh Taqiuddin an-Nabhani dalam kitab As-Syahsiyyah
Al-Islamiyyah Juz. 3:178-179].
Larangan Bertabarruj
Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An-Nur (24):60 iaitu Firman Allah,
“Dan
perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung]
yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan
pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan (tabaruj),
dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [TMQ An Nur(24):60]
Mafhum
muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan tua yang
telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah
lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan
berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah
“Dan
hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [TMQ Al-Ahzab (33):33]
Dan Hadis Rasulullah riwayat dari Bazzar dan At-Termizi menjelaskan,
“Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.”
Abul A’la al Maududi berkata:
“Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna-
(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);
(ii)
wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada
lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan
kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar,
tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak
menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang
bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman
semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian
melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka
dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].
Khatimah
Sesungguhnya
aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang
difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting
ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat dalam hayatul
khassah (kehidupan khusus) dan hayatul am (kehidupan umum) menurut
syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada
belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari
dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata,
bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian. Memetik kata-kata Sheikh
Ali Thantawi:
"Terdapat perbezaan yang besar antara seorang yang
terjaga lewat pagi kemudian terus bergegas untuk keluar bekerja.
Disebabkan kesibukan menjalankan tugas, beliau tidak berkesempatan untuk
makan dan minum sehingga tibanya waktu malam, sementara seorang yang
lain yang turut mengalami keadaan berlapar dan dahaga tetapi telah
berniat untuk berpuasa, telah mendapat pahala daripada amalannya
disebabkan niatnya, sementara orang yang pertama tidak memperoleh
apa-apa sedangkan dia turut berlapar dan dahaga. Begitulah keadaannya
dengan amalan-amalan kebiasaan yang lain, bilamana diniatkan untuk
mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala akan memperolehi pahala
dari Nya, sebaliknya jika dilakukan sebagai rutin hidup, dia tidak akan
memperoleh apa-apa".
Wallahu ‘alam bi sawab.
PPIM
- United State Of Islam
- Klang, Selangor, Malaysia
- Assalamualaikum.. bismillahirahmanirahim. " Segala bahan didalam blog ini di ambil, di olah dan ditulis dari pelbagai sumber. Kepada yang ingin mengambil apa2 jua bahan dalam blog ini dengan niat untuk mengembang sebarkan ilmu, tidak perlu meminta izin atau menyertakan alamat blog ini. Sebarkan dan panjangkanlah kepada semua demi kebaikkan ummah. Semoga info yang ada dapat memberi manfaat walaupun sedikit cuma, dan semoga dengan usaha sekecil ini pastinya tidak akan terlepas dari pandangan Allah.. insyaAllah.. Jika ada kesilapan dari setiap posting, tolong berikan nasihat dan komen. Maaf andai terlancar bahasa tersasar kata-kata. Saya hanya insan biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. wallahualam."Blog Created By AZHHAR/JEHA
CLICK BELOW TO SEARCH INFO N ILMU
-
▼
2011
(146)
-
▼
December
(29)
- BERTUDUNG TAPI HANYA HIPOKRIT?
- SIAPA YANG BERANI MENGAKU INI PEMIMPIN MEREKA?...
- 40 BUTA KERANA MEROBOHKAN MASJID
- 42 HADITH PERISTIWA AKHIR ZAMAN (bah akhir)
- 42 HADITH PERISTIWA AKHIR ZAMAN (bah 13)
- SIAPA AWEK CUN INI?
- KUBUR PALING BANYAK DI DUNIA
- ROMPAKAN BERSENJATA: SUSPEK TELAH DITANGKAP POLIS ?
- KALAU TAK HABIS BACA BERMAKNA KURANG SABAR LA TU...
- 24 JAM BERGELUMANG DENGAN DOSA..kalau suami tiada ...
- FITNAH AKHIR ZAMAN
- Buat Rakan Rakan Blogger ku..Links to this post
- KEWUJUDAN JIN, IBLIS DAN SYITAN
- KUBUR ISLAM KE KRISTIAN NI ?
- MANA LEBIH BAIK, KUDA ATAU LEMBU ?
- MENCEGAH ZINA AMANAT UMMAH HINDARI KEMUNGKARAN
- BILA SI BODOH NAK MASUK POLITIK
- DITANGKAP GARA-GARA GIAN RABA PAYU tak DARA
- AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN
- PENGORBANAN SEORANG IBU
- MUALLAF
- ' MAK JAN ' JAJA TUBUH MONTOK
- SUNNAH YANG DIABAIKAN : PENGHULU ISTIGHFAR
- AKHIRNYA JUDI HALAL DISISI ISLAM UMNO
- JUDI DARI SUDUT PELBAGAI AGAMA
- GEJALA SOSIAL, TANGGUNGJAWAB SIAPA ?
- AZAM MENDIDIK ANAK
- PANDUAN MEMULAKAN SOLAT SETELAH LAMA MENINGGALKANNYA
- Benarkah Najib Pemimpin Sederhana?
-
▼
December
(29)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment