Pengalaman saya di bawah ini boleh dijadikan iktibar oleh kawan-kawan sempena sambutan Maal Hijrah 1432 akan datang.
Saya mengenali Abang Mat lebih lima tahun yang lalu. Kami merupakan rakan kongsi dalam kegiatan penterjemahan. Abang Mat sememangnya cukup arif dan berpengalaman dalam bidang ini dan beliau amat dikenali dalam kalangan para penterjemah tanah air. Beliau merupakan penterjemah sepenuh masa dan bergantung hidup pada usaha yang agak "mewah" ini. Klik di sini jika kurang yakin.
Hubungan persahabatan kami berputik apabila saya memberi komen yang menghina hasil karya terjemahan beliau. Cara begini biasa saya gunakan untuk mendapat perhatian seseorang. Tetapi awas, anda perlu ada kehebatan untuk berbuat demikian. Maksudnya, ada perlu cukup kekuatan dari segi ilmu dan jati diri sebelum menggunakan teknik "melampau" ini.
Bermula detik itu, kami selalu berhubung antara satu sama lain dan menjadi semakin akrab apabila kami mula berkongsi "projek". Beliau kata (bukan saya kata) saya hebat dan berbakat dalam bidang penterjemahan, khususnya dalam laras perbankan dan kewangan. Saya tidak berasa begitu, sehingga suatu hari beliau tergetar-getar menelefon saya bertanyakan sama ada saya boleh membantu beliau menterjemah laporan tahunan sebuah syarikat swasta ternama. Katanya, tanpa saya, beliau akan menolak tawaran itu. Wow, saya rasa cukup hebat! Itu satu motivasi yang paling terkesan di jiwa saya.
Abang Mat memang baik. Bertutur lembut dan teratur. Kami sering ke masjid bersama-sama. Semasa ibu saya meninggal dunia pada tahun 2006, beliau adalah antara kawan yang terawal muncul memberikan takziah dan mengiringi jenazah ibu ke tempat persemadian. Beliau sempat menyudahkan pembacaan Surah Yasin di atas kuburan ibu. Abang Mat memang prihatin dan peka. Satu ketika saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) daripada beliau berbunyi "Salam Din, saya baru memasukkan duit sebanyak RM3,000 ke dalam akaun awak. Duit itu untuk anak awak yang akan masuk ke universiti tidak lama lagi, jangan guna untuk perkara lain". Saya kaget, tetapi cuba berbuat selamba. SMS dibalas ringkas, "TQ bang". Banyak lagi kebaikan beliau kepada saya yang tidak dapat disebutkan satu per satu di sini, takut nanti meleret-leret pula.
Awal tahun lepas, kawan rapat kami yang seorang lagi datang bertemu saya dan berbisik kepada saya, "Din, Abang Mat sudah keluar Islam. Dia pesan suruh beritahu engkau. Dia tidak sanggup beritahu sendiri. Bukan baharu, tetapi lama dulu. Sejak tahun 1998 lagi. Sekarang ini dia sudah pun menjadi Paderi. Setiap Ahad beri khutbah di Gereja". Saya terdiam. Lidah kelu. Otak buntu. Masya-Allah...
Saya ambil telefon dan hantar SMS kepada kawan-kawan bergelar ustaz yang saya kenali untuk meminta pandangan mereka apa yang perlu saya buat. Semuanya memberi respons "Putuskan hubungan". Saya balas "Mana boleh ustaz. Sayalah sekerat dua kawan dia yang Islam. Yang lain-lain, China, India dan Mat Saleh. Nanti siapa nak bawa dia ke pangkal jalan". Sekonyong-konyong Ustaz menarik balik fatwa, "Berkawanlah baik-baik Din. Tetapi ingat, jangan kau terpesong pula".
Saya pulang ke rumah lalu mengambil buku Ahmed Deedat "The Choice, Islam and Christianity, Volume I" yang saya beli beberapa tahun lalu dan saya tulis nota di dalamnya, "Abang Mat, saya mohon abang baca buku ini dengan hati yang terbuka. Mungkin ia bermanfaat untuk abang. Kita bersaudara bang, tetapi persaudaraan itu tidak seperti dahulu kerana kini ia menjadi janggal dan tidak semurni persaudaraan sesama Islam".
Sampai sekarang, buku bersama nota itu masih dalam simpanan saya kerana belum ada masa yang paling sesuai untuk saya serahkan buku tersebut kepada beliau. Kami tidak pernah berbincang tentang perkara ini dalam setiap pertemuan dan beliau senantiasa mengelak untuk berbicara tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Maal Hijrah 1432 akan datang ini, usia Abang Mat menjangkau 58 tahun. Semoga Allah mengasihani beliau kembali dan melontarkan semula cahaya iman di lubuk hati Abang Mat....
Pesanan Babah:
Abang Mat (bukan nama sebenar) murtad atas pengakuannya. Tetapi sebahagian daripada kita tidak sedar betapa kita juga terdedah pada fenomena itu kerana kejahilan kita. Ramai yang tergelincir akidah daripada landasan iman dan Islam, tanpa disedari, melalui pertuturan dan perbuatan. Justeru, awasilah perlakuan dan pertuturan. Teruskan memperdalam ilmu dan jadikan ucapan taubat sebagai wirid yang senantiasa bermain di bibir. Wallahualam. -
No comments:
Post a Comment